Peranan Sekolah Dalam Pemupukan Amalan Mencintai Alam Sekitar Dalam Diri Murid-Murid

Sekolah turut berperanan dalam pemupukan amalan mencintai alam sekitar dalam diri murid-murid.

Huraikan peranan sekolah dalam pemupukan amalan tersebut dalam diri murid-murid.

Sedasawarsa ini, dek terlalu dilingkari dengan kemajuan sains dan teknologi, negara ini acap kali tersentak dengan isu masyarakat yang semakin luntur kecintaannya terhadap alam sekitar yang seharusnya dipupuk sejak kecil lagi. Isu ini bukan sahaja menular di media massa seperti akhbar, televisyen dan Internet malahan, isu ini sering meniti dari bibir ke bibir seluruh masyarakat di negara ini termasuklah di warung-warung kopi mahupun di dewan-dewan parlimen. Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan nilai kecintaan terhadap alam sekitar? Mengapakah nilai ini sewajarnya dipupuk sejak usia masih kecil lagi? Nilai kecintaan terhadap alam sekitar ialah sikap cinta terhadap alam sekitar sehingga melahirkan usaha untuk sentiasa memelihara dan memulihara keindahan alam sekitar. Nilai ini sangat wajar untuk dipupuk kerana nilai ini sangat penting dalam melestarikan keindahan alam di negara kita demi kebaikan bersama. Apabila nilai ini mulai disemai sejak kecil lagi, isu pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing malah membimbangkan masyarakat dapat ditangani dengan drastik dan dapat dikurangkan. Apalah gunanya jika negara makmur dengan teknologi canggih tetapi muflis nilai kecintaan terhadap alam sekitar. Siapakah golongan sasaran yang perlu memikul obligasi berat dalam melaksanakan uslub kudsi ini? Sudah tentulah murid-murid yang masih berada di alma mater menjadi sasaran masyarakat bagi menjaga dan melestarikan alam sekitar ini. Hal ini adalah kerana peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebung seharusnya diaplikasikan demi kebaikan bersama. Oleh itu, peranan pelbagai pihak di sekolah dalam memupuk amalan mencintai alam sekitar dalam diri murid-murid akan mewarnai fokus perbincangan ini demi kemaslahatan bersama.

Antara peranan pihak sekolah adalah dengan menganjurkan program ataupun ‘Kempen Mencintai Alam Sekitar’ setiap tahun dan menyuburkan sikap cinta terhadap alam sekitar. Dengan ini, murid-murid akan semakin tinggi pengetahuan mereka tentang kebaikan dan kepentingan menjaga keindahan alam sekitar. Sebagai contohnya, pihak sekolah boleh melaksanakan pelbagai aktiviti yang lebih menarik supaya dapat menggamit minat murid-murid untuk menyertai aktiviti ataupun kempen yang dijalankan. Seperti Kuiz Alam Sekitar yang boleh dianjurkan oleh Kelab Pencinta Alam Sekitar di setiap sekolah. Kembara Alam Sekitar juga boleh dilaksanakan dengan melibatkan guru-guru dan murid-murid supaya dapat memberikan pendedahan yang dapat membuka minda murid tentang peri pentingnya alam sekitar pada masa ini. Dalam aktiviti tersebut, guru-guru seharusnya membimbing murid-murid untuk lebih mengetahui spesies dan kehidupan alam sekitar supaya mereka dapat mengetahui pelbagai prakarsa untuk melestarikan keindahan alam sekitar. Secara tidak langsung, generasi akan datang juga dapat menikmati keindahan alam sekitar yang sentiasa terjaga ini. Dengan pendekatan ini, nilai-nilai negatif dalam diri murid dapat dilunturkan supaya tidak menjadi bebaun kepada negara pada masa akan datang. Apakah nilai-nilai negatif yang dimaksudkan itu? Nilai tersebut adalah seperti nilai mementingkan diri yang hanya mengutamakan ganjaran material tetapi tidak terhadap nilai kemanusiaan sehingga sanggup beraja di hati, bersultan di mata demi selaut ganjaran yang dijanjikan. Oleh itu, guru-guru seharusnya bersikap prihatin dan sentiasa berusaha menggembleng tenaga untuk melaksanakan kempen dan aktiviti tersebut supaya dapat menyemaikan amalan mencintai alam sekitar dalam diri murid-murid.

Selain itu, guru-guru juga sewajarnya menjalankan pelbagai uslub seperti mengadakan Sudut Info Alam Sekitar supaya dapat memberikan dan menambahkan pengetahuan murid-murid tentang alam sekitar yang semakin ditelan kerakusan manusia dek pembangunan sehingga mengorbankan keindahan dan kesucian alam sekitar. Contoh yang boleh diketengahkan adalah dengan mengadakan pameran tentang informati dasi alam sekitar di papan kenyataan sekolah sama ada di kantin, di lobi mahupun di dinding-dinding sekolah yang memaparkan ilustrasi yang menarik supaya dapat memikat minat murid untuk membaca, menghayati dan mengaplikasikan sikap mencintai alam sekitar dalam kehidupan seharian mereka sehinggalah ke usia tua nanti. Hal ini adalah kerana apabila murid-murid sering dikelilingi dengan pelbagai informasi yang bermanfaat, maka akan lahirlah individu yang berpengetahuan luas, berimformasi yang sering menjadi visi dan misi setiap sekolah. Oleh itu, dengan golongan sasaran inilah yang akan menjadi cerucuk utama dan pencetus kemajuan negara dalam pelbagai aspek termasuklah maju pemikirannya sehingga mampu untuk memikirkan akibat dan padahnya jika hanya mengikut hati dalam setiap tindakan. Dengan ini, tangan dan kaki mereka tidak akan teradaya untuk memusnahkan alam sekitar yang penting untuk dilestari supaya mereka tidak tergolong dalam kalangan yang rakus memuaskan hati mereka semata-mata mengaut segunung keuntungan. Jadi, guru-guru seharusnya tidak mengamalkan sikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ataupun melepaskan batuk di tangga dalam memupuk nilai kecintaan murid terhadap alam sekitar.

Pena ini akan terus membicarakanbaik di hadapan murid-murid malahan guru-guru juga seharusnya menjadi suri teladan yang perlu dicontohi oleh setiap murid dalam pelbagai aspek. Oleh itu, guru-guru adalah antara golongan yang sering bersama dengan murid selain ibu bapa mereka. Justeru, guru-guru mahupun semua pihak di sekolah juga seharusnya menunjukkan sikap yang baik seperti membuang sampah di tempat yang sepatutnya dan bersama-sama membersihkan halaman sekolah mahupun kelas supaya mereka dapat bekerjasama sekali gus mengeratkan silaturahim sesama mereka. Tiada gunanya guru-guru sekadar menasihati tetapi tidak berusaha mendekati murid-murid untuk melakukan setiap pekerjaan yang digalakkan itu. Jika guru-guru mengamalkan sikap sedemikian, mereka akan berasa malas dan alpa dengan hanya bersembang dan berbual-bual kosong semasa menjayakan aktiviti membersihkan sesuatu kawasan tersebut. Melalui pemantauan guru-guru, murid-murid akan lebih fokus dan bekerjasama menjayakan setiap aktiviti yang dirancang. Izharlah bawaha pihak sekolah seharusnya berusaha bersama-sama murid-murid bagi setiap aktiviti yang dijalankan supaya akan terpaparlah nilai kecintaan terhadap alam sekitar dalam diri murid-murid.

Sebagai kesimpulannya, semua pihak terutamanya pihak guru-guru di alma mater seharusnya bersatu untuk memupuk amalan men-murid cintai alam sekitar dalam diri murid supaya golongan ini dapat menjadi pembangun kepada keindahanan alam sekitar di negara kita. Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Oleh itu, pihak sekolah seharusnya berusaha untuk menganjurkan dan melaksanakan uslub-uslub tersebut supaya amalan mencintai alam sekitar dapat disuburkan dalam diri murid-murid sejak di bangku sekolah lagi. Mereka seharusnya didedahkan dengan pelbagai informasi dan maklumat supaya mereka tidak seperti di bawah tempurung kerana sekiranya kita maju dalam pelbagai bidang dan cabang di peringkat antarabangsa tetapi tidak ada nilai mencintai alam sekitar, tiada gunanya. Oleh itu, murid-murid juga perlu sedar bahawa alam sekitar sangat penting kepada negara. Persis kata-kata Allahyarham Profesor Hamka, “kecantikan bukanlah pada wajah semata-mata tetapi pada akhlaknya.” Jadi, kita perlulah melestarikan dan mencintai alam sekitar demi kebaikan sejagat.

Posted in Bahasa Melayu, Karangan | Leave a comment

Kepentingan Disiplin Kepada Remaja

Kepentingan Disiplin Kepada Remaja

Pada era globalisasi ini, pencapaian yang cemerlang dan seimbang dalam bidang akademik serta kokurikulum oleh anak anak merupakan harapan ibu bapa sebagai langkah untuk menjamin masa depan anak-anak yang cerah. Hal ini menyebabkan ramai anak yang mengalami tekanan kerana ingin memuaskan kehendak ibu bapa mereka Oleh itu, remaja yang terlibat dalam masalah disiplin ibarat cendawan tumbuh selepas hujan Hal ini menyebabkan remaja mencari jalan untuk menghilangkan stress. Contohnya, membuli, merokok dan berlumba haram. Akhirnya, masalah disiplin pelajar menjadi lebih serius dan mereka terjebak ke dalam kancah kebinasaan. Oleh itu, pelajar harus belajar untuk menjadi disiplin kerana disiplin asas kejayaan. Persoalannya, apakah kepentingan disiplin kepada remaja?

Sebagaimana yang kita tahu, seseorang yang mempunyai disiplin diri dapat membina jati diri. Remaja sekarang mempunyai jati diri yang lemah. Hal ini disebabkan oleh pengaruh media massa dan pengaruh kawan yang kuat. Kesannya, remaja tidak berminat dalam pelajaran kerana terlalu berminat dalam pelajaran dan menumpukkan perhatian dan masa kepada media massa atau kawan. Sekolah harus mengadakan kelas intensif untuk membantu pelajar yang lemah dan membaiki kelemahan pelajar. Dengan itu, pencapaian akademik pelajar akan meningkat. Apabila pemikiran pelajar menjadi matang, jati diri pelajar akan turut meningkat. Natijahnya, kepentingan disiplin kepada remaja adalah dengan dapat membina jati diri.

Selain itu , sikap disiplin dalam seseorang dapat meningkatkan kesedaran remaja dalam pelbagai perkara .Remaja kini tidak menyedari kepentingan akademik dan suka hidup dalam mimpi .Mereka suka melepak ,merokok dan hidup dalam alam fantasi mereka. Akhirnya , mereka lupa daratan dan hilang arah tuju.Oleh itu, para guru disiplin sekolah harus sentiasa tegas dalam mengatasi masalah disiplin pelajar dan menguatkuasakan peraturan sekolah sebelum nasi menjadi bubur. Sebuah sekolah yang berada dalam keadaan yang erkawal akan dapat melahirkan tempat yang kondusif kepada pelajar-pelajar. Izharnya, kepentingan disiplin kepada remaja adalah dengan dapat meningkatkan kesedaran remaja dalam pelbagai perkara.

Seterusnya, disiplin yang ada pada seseorang remaja dapat menetapkan masa depan seorang remaja. Remaja alaf baharu ini mudah hilang arah tujuan kerna mereka tiada motivasi diri. Contohnya, mereka tidak membuat jadual belajar dan mereka malas untuk berusaha. Oleh itu, guru sekolah harus mendidik murid untuk menjadi disiplin. Dengan teknik pembelajaran yang disipliN, remaja dapat mengetahui perkara yang sedang dibuatnya dengan jelas dan tahu mencari cara untuk memajukan diri mereka .Dengan itu remaja akan menghargai masa dan mereka akan sentiasa melakukan aktiviti yang berfaedah. Tuntasnya, kepentingan disiplin kepada remaja adalah dari segi menetapkan masa depan seorang remaja.

Sementara itu, sikap disiplin yang ada pada seseorang dapat meningkatkan imej diri .Pada masa ini , masalah remaja seperti berpakaian selekeh dan berambut panjang sudah menjadi perkara yang umum. Budaya Punk dan Barat dipraktikkan dalam kehidupan mereka.Contohnya , mereka mewarnakan rambut dan berseluar ketat . Pepatah Melayu pernah mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungya ,ibu bapa harus menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan menjadi suri telada kepada anak sejak kecil kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.Sebagaimana yang kita tahu , anak-anak yang dididik dengan baik dari rumah sentiasa mempunyai sikap disiplin dan perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka tidak menconteng arang di muka ibu bapa.Jelaslah bahawa kepentingan disiplin kepada remaja adalah dari segi meningkatkan imej diri.

Di samping itu , disiplin merupakan kunci kejayaan diri . Anak muda pada masa kini antikokurikulum dan antipeperiksaan kerana mereka tidak dapat mencari keseronokan yang mereka kira seronok. Misalnya, mereka ponteng sekolah semasa dikehendaki untuk menghadiri aktiviti kokurikulum dan hanya hadir pada hari peperiksaan sahaja. Pengetua sekolah haruslah memberikan nasihat dan teguran untuk menyedarkan remaja bahawa pentingnya kokurikulum dan akademik dalam dunia ini. Pengetua juga harus member kata-kata yang dapat memotivasikan pelajar supaya pelajar lebih yakin akan diri sendiri. Pelajar haruslah menunjukkan muhasabah disiplin diri yang tinggi dan harus memperbaik sikap yang buruk kerana buang yang keruh, ambil yang jernih. Kesimpulannya, kepentingan disiplin kepada remaja adalah dengan disiplin merupakan kunci kejayaan diri.

Akhirulkalam, masalah disiplin pelajar dapat dikawal tetapi memerlukan usaha yang pragmatik dan kerjasama bagai aur dengan tebing oleh semua pihak. Pepatah Melayu sentiasa berbunyi ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, remaja harus diasuh untuk menjadi pemimpim negara yang berketerampilan dan berwibawa. Kesimpulannya ,sikap disiplin merupakan penentu kejayaan untuk memastikan masa depan negara cerah dan sejahtera . Saya yakin bahawa remaja ialah aset negara dan mereka akan menerajui dan mendukung cita-cita negara pada masa depan dengan sikap disiplin yang utuh dalam diri mereka.

.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Cara-Cara Menangani Penularan Wabak Penyakit

Cara-Cara Menangani Penularan Wabak Penyakit

Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini kita dapat menyaksikan peningkatan kes-kes penularan penyakit di dalam negara mahupun di seluruh pelusuk dunia. Ianya dikategorikan sebagai subset penyakit yang boleh ditularkan dan berjangkit kepada orang lain. Ia mampu merebak melalui laluan udara dan juga melalui hubungan fizikal. Polemik yang semakin membimbangkan masyarakat dunia amnya dan masyarakat Malaysia khususnya ini umpama duri dalam daging. Rentetan itu, kita wajar untuk mengenal pasti cara terbaik untuk menangani masalah ini untuk daya tahan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat. Persis kata mutiara, mencegah lebih baik daripada merawat.

Perkara utama dalam menghadapi isu global ini adalah tindakan setiap individu dalam masyarakat untuk menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Kebersihan diri adalah nilai penting yang wajib diamalkan oleh semua manusia kerana kekotoran adalah punca kepada penularan ini. Setiap ahli masyarakat dalam kalngan kanak-kanak dan dewasa perlu mengutamakan kebersihan diri dengan membuang sampah di tempat yang betul, sentiasa mencuci tangan selepas menggunakan tandas dan memilik restoran yang memiliki tahap kebersihan terbaik. Aktiviti bergotong-royong dalam membersihkan kawasan perumahan dan tempat-tempat awam perlu sentiasa dianjurkan agar kebersihan dijaga di samping hubungan kemasyarakatan dapat dieratkan. Maka, kita perlu sentiasa mengingatkan diri dan orang sekeliling supaya menitik beratkan aspek kebersihan diri dan persekitaran dalam kehidupan seharian.

Cara lain dalam mencegahnya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Masyarakat yang inteligensia adalah masyarakat yang mempraktikkan gaya hidup sihat kerana manfaatnya yang besar bukan sahaja pada diri malahan berfaedah untuk negara. Gaya hidup sihat merangkumi pemakanan seimbang dan melakukan aktiviti riadah atau bersukan. Aktiviti ini yang dilakukan pada waktu lapang ini akan memanfaatkan diri individu tersebut. Mereka akan terhindar dari wabak dan tahap imunisasi badan lebih kuat berbanding individu yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Tambahan pula, pemakaian kondom dalam pelakuan seks suka sama suka juga adalah penting sebagai langkah kebersihan dan mengelakkan penyakit yang tiada penawar sehingga hari ini iaitu HIV dan AIDS. Justeru, pendidikan dan kempen kesedaran perlu digiatkan dalam melibatkan semua lapisan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat sebagai langkah menangani masalah yang kian meningkat masa kini.

Selain itu, ianya juga berpotensi dibawa oleh pelancong atau buruh asing. Pihak berkuasa bertanggungjawab untuk memperketatkan kawalan kemasukan pelancong dan buruh asing ke dalam negara. Pelancong asing mempunyai risiko rendah berbanding buruh asing yang akan menetap lebih lama dan berisiko bergaul dengan masyarakat tempatan. Oleh itu, saringan kesihatan perlu diwajibkan dan penangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu diperkasakan. Amalan kebersihan mereka mungkin berbeza daripada kita jadi, pihak yang bertanggungjawab membawa buruh asing ini perlu memastikan kebajikan pekerja mereka dijaga dengan baik. Kesannya, kita dapat menjamin kesihatan kita di samping menyemarakkan ekonomi dengan kawalan yang baik ke atas kemasukan pelancong dan buruh asing.

Akhir sekali, cara-cara menangani adalah dengan memeriksa setiap bahan import yang masuk ke dalam negara. Hal ini kerana kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti peristiwa yang telah berlaku dahulu di negara China dimana berlaku serangan selesema burung yang serius. Pihak berkuasa perlu memastikan haiwan-haiwan yang dibawa masuk ke negara ini bebas daripada jangkitan sebarang penyakit berbahaya. Tidak kira sama ada haiwan tersebut diimport untuk dijadikan makanan atau haiwan peliharaan. Sumber makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan juga perlu disaring dan dipastikan kebersihannya daripada sebarang keracunan dan wabak. Kerjasama antara agensi penguatkuasa dan kesihatan perlu dipereratkan agar tindakan ini dapat dijalankan dengan baik dan sekaligus memusnahkan ancaman wabak daripada luar. 

Kesimpulannya, terdapat banyak cara yang boleh diusahakan untuk menangani masalah ini di Malaysia. Tindakan melawan penyakit secara holistik oleh semua pihak akan menyumbang kepada penurunan kes ini seterusnya melahirkan negara yang bebas dari masalah ini. Media massa dan kerajaan berperanan besar dalam menyedarkan masyarakat kita akan kepentingan dan manfaat mencegah penularan wabak ini. Janganlah kita berfikiran jumud dalam perkara ini kerana menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Peribahasa ini membawa maksud kita perlulah sedar dan mengambil tindakan segera ke atas perkara yang merbahaya ini agar tidak kesal akan akibatnya di kemudian hari.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Sajak

Soalan Peperiksaan :

Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

KITA UMPAMA SEHELAI DAUN

Kita umpama sehelai daun
bertunas segar di hujung ranting
lalu melebar dan merimbun
tempat bercanda unggas meriang
di bawah redup bebayang mentari

andai kikir jasa dan bakti
di mana lagi tempat bernaung
dari tusukan bahang memijar
unggas kecil tidak berkudrat

kita umpama sehelai daun
bakal kering sampai waktunya
usahlah angkuh keupayaan diri
sehingga lupa makhluk duafa
ingin bernaung mencari hidup

jadilah sehelai daun
hijau menunas menyegar mata
kering gugur menjadi baja

( Dipetik daripada Antologi Kuingin Berterima Kasih, Tingkatan 1,DBP )

i) Berdasarkan rangkap terakhir sajak di atas, apakah nasihat-nasihat penyajak kepada kita semua?  ( 3 markah )

ii ) Nyatakan dua pengajaran daripada sajak tersebut  ( 3 markah )

iii) Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan pembalakan kepada flora dan fauna?   ( 4 markah )

Skema Jawapan :

i ) Nasihat-nasihat penyajak dalam rangkap terakhir ialah supaya pembaca  [ 3markah ]
– mencontohi kehidupan sebagai daun yang menabur bakti dengan memperlihatkan warna hijau dan dapat menyegarkan mata.
– membuat jasa sebagaimana daun kering yang gugur dan kemudian menjadi baja kepada pokok-pokok

ii ) Pengajaran yang terdapat dalam sajak di atas [ 3 markah ]
– kita mestilah bekerjasama antara satu dengan yang lain agar semua makhluk hidup bahagia
– kita perlulah bersikap baik hati agar tidak berlaku penganiayaan.
– kita hendaklah berbuat jasa supaya sentiasa disenangi semua orang
Isi cukup : 2 daripada isi di atas.

iii ) Kesan- kesan pembalakan kepada flora dan fauna [ 4 markah ]
– kehidupan flora dan fauna terancam kerana kehilangan habitat untuk membiak
– kekurangan sumber makanan
– beberapa spesies tumbuh-tumbuhan dan haiwan akan pupus
– kawasan cerun bukit akan menjadi gondol dan terdedah kepada hakisan
– generasi akan datang tidak akan dapat melihat keindahan flora dan fauna
Terima apa-apa jawapan yang relevan.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Latar Masa, Latar Tempat, Latar Masyarakat (Novel Tingkatan 3)

Novel Justeru Impian di Jaring  :  Latar Masa, Latar Tempat, Latar Masyarakat (Novel Tingkatan 3)

Latar

Latar Tempat

  • Bandar Baru Bangi.
  • Jabatan Pengajian Sukan, UPM Serdang.
  • Gelanggang latihan badminton.
  • Restoran 48 jam.
  • Taman Shamelin Perkasa.
  • Dewan Badminton Tanjung Puteri Utama.

Latar Masa

  • Waktu pagi.
  • Waktu malam.
  • 8.30 pagi.
  • 11.10 malam.
  • Selepas solat maghrib.
  • Selepas waktu asar.

Latar Masyarakat

  • Masyarakat yang tabah mengharungi liku-liku kehidupan.
  • Masyarakat yang sentiasa ingat akan pesanan.
  • Masyarakat yang berani mengemukakan pendapat.
  • Masyarakat yang gigih berusaha.
  • Masyarakat yang bersikap pilih kasih.
  • Masyarakat yang sabar menghadapi dugaan.

.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Gaya Bahasa (Novel Tingkatan 3)

Novel Justeru Impian di Jaring  :  Gaya Bahasa (Novel Tingkatan 3)

Gaya Bahasa

  • Metafora. Contohnya, Tidak semena-mena wajah arwah abah pula yang hadir di layar minda.
  • Peribahasa. Contohnya, datang tidak bersambut, pulangbiarlah berhantar; berpeluk tubuh; makan hati; kepala batu.
  • Simile. Contohnya, “Kadang-kadang terasa macam bola,disepak dilambung ke sana ke mari.”
  • Sinkope. Contohnya, “Saya tak sedap hati nak pergi, kak.”
  • Personifikasi. Contohnya, Ada keresahan mengintai dalamnubari.
  • Hiperbola. Contohnya, Peluang kini terbuka luas untuk sayamematikan bulu tangkis dengan smash tajam membunuh ke lantai kejat gelanggangnya.

.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Plot – Teknik Plot (Novel Tingkatan 3)

Novel Justeru Impian di Jaring  :  Plot – Teknik Plot (Novel Tingkatan 3)

Plot – Teknik Plot

Dialog. Contohnya, perbualan antara Syahir dengan Azmie. Syahir meminta rakan baiknya itu agar tidak menulis perkara yang tidak sepatutnya dalam Mingguan Riadah itu nanti.

Monolog. Contohnya, Syahir bermonolog mempertikaikan kemenangan Syed Amiri dalam kejohanan Terbuka Johor adalah kerana pengadil perlawanan turut bersekongkol untuk memberikan kemenangan kepada Syed Amiri.

Imbas Kembali. Contohnya, emak telah mengingatkan semula tentang pesanan arwah ayah Syahir kepada Syahir.

Imbas muka. Syahir berasa serba salah untuk meneruskan perjuangannya di Jakarta setelah mendapat berita bahawa emaknya diserang strok. Syahir mula membayangkan keadaan yang akan berlaku sekiranya emaknya meninggal dunia semasa dia berada di Jakarta.

Saspens. Contohnya, semasa pertarungan antara Syahir dengan Syed Amiri, pembaca tertanya-tanya pemain yang akan memenangi perlawanan badminton tersebut. Hal ini demikian kerana pertarungan antara mereka sangat sengit, ditambah pula dengan beberapa keputusan pengadil yang berat sebelah.

.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Watak dan Perwatakan (Komsas Tingkatan 5)

Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil : Watak dan Perwatakan (Komsas Tingkatan 5)

WATAK DAN PERWATAKAN

1. Ahmad Mutawakkil

Seorang yang berilmu

Ahmad Mutawakkil belajar membaca dan menulis dengan Sandra sehingga melayakkannya menjawat jawatan wartawan

Seorang  yang  tabah

Seperti penduduk kampung yang lain, Ahmad Mutawakkil sentiasa tabah dan sabar ketika menghadapi kesusahan hidup semasa penjajahan Jepun dan keganasan komunis

Seorang  yang mempunyai semangat patriotism

Ahmad Mutawakkil seorang pemuda yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi untuk memerdekakan tanah air melalui pidato dan penulisan dalam menentang panjajahan Inggeris dan komunis.

2. Tuan Booth

Seorang yang penyayang

Tuan Booth bertindak membawa semua ahli keluarganya berpindah semasa penjajahan Jepun demi kasih sayangnya kepada keluarga

3. Sandra

Seorang  yang penyayang

Sandra yang mencintai Ahmad Mutawakkil dalam diam sanggup   menetap di kampung itu selepas kemerdekaan dan mengajar anak-anak kampung membaca dan menulis.

.

Posted in Bahasa Melayu | Leave a comment

Pengajaran (Komsas Tingkatan 5)

Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil : Pengajaran (Komsas Tingkatan 5)

PENGAJARAN

Kita hendaklah sentiasa mengukuhkan ikatan kasih sayang dalam keluarga

Tuan Booth bertindak membawa semua ahli keluarganya berpindah semasa penjajahan Jepun demi kasih sayangnya kepada keluarga

Kita hendaklah tabah dalam mengharungi zaman /waktu kesusahan

Masyarakat kampung sentiasa tabah dan sabar ketika menghadapi kesusahan hidup semasa penjajahan Jepun dan keganasan komunis

Kita hendaklah mempunyai semangat patriotisme yang tinggi untuk memperjuangkan kemerdekaan tanah air

Ahmad Mutawakkil seorang pemuda yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi untuk memerdekakan tanah air melalui pidato dan penulisan dalam menentang panjajahan Inggeris dan komunis.

Kita hendaklah setia apabila menyayangi seseorang dengan setulus hati

Sandra yang mencintai Ahmad Mutawakkil dalam diam sanggup   menetap di kampung itu selepas kemerdekaan dan mengajar anak-anak kampung membaca dan menulis.

Kita hendaklah sentiasa mencari ilmu demi memajukan bangsa

Ahmad Mutawakkil belajar membaca dan menulis dengan Sandra sehingga melayakkannya menjawat jawatan wartawan

.

Posted in Bahasa Melayu | Leave a comment

Tema dan Persoalan (Komsas Tingkatan 5)

Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil : Tema dan Persoalan (Komsas Tingkatan 5)

TEMA :  

Kegigihan dan keberanian seorang pemuda yang menghadapi pelbagai cabaran dan tentangan dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air.

PERSOALAN

Persoalan tentang kasih sayang sesama ahli keluarga

Tuan Booth bertindak membawa semua ahli keluarganya berpindah semasa penjajahan Jepun demi kasih sayangnya kepada keluarga

Persoalan tentang ketabahan dalam mengharungi pelbagai kesusahan semasa zaman perang

Masyarakat kampung sentiasa tabah dan sabar ketika menghadapi kesusahan hidup semasa penjajahan Jepun dan keganasan komunis

Persoalan tentang semangat patriotisme yang tinggi dalam diri seorang pejuang tanah air

Ahmad Mutawakkil seorang pemuda yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi untuk memerdekakan tanah air melalui pidato dan penulisan dalam menentang panjajahan Inggeris dan komunis.

Persoalan tentang kisah cinta yang mendalam

Sandra yang mencintai Ahmad Mutawakkil dalam diam sanggup   menetap di kampung itu selepas kemerdekaan dan mengajar anak-anak kampung membaca dan menulis.

Persoalan tentang kepentingan ilmu pengetahuan

Ahmad Mutawakkil belajar membaca dan menulis dengan Sandra sehingga melayakkannya menjawat jawatan wartawan

.

Posted in Bahasa Melayu | Leave a comment